Wednesday, June 24, 2009

Kg. Bulieng Memerlukan Kemudahan Riadah...

Assallamualaikum dan salam sejahtera sekali lagi.Kali ini saya ingin berkongsi kepada semua pembaca terutama kepada penduduk di Kg Bulieng. Saya sebenarnya amat terharu melihat keadaan kampung kita yang semakin terpinggir terutama dalam pembangunan prasarana kemudahan bersukan. Dahulu kita digeruni dalam acara-acara seperti sepak takraw, bola sepak dan sukan-sukan yang lain. Tapi kini kita semakin tenggelam dan ketinggalan dalam acara-acara tersebut.Apakah puncanya? Adakah kita sebagai penduduk di kampung ini sudah semakin lemah? Atau adakah kampung kita tidak mempunyai kemudahan untuk bersukan?Di sini saya cuba memberikan sedikit pandangan berkenaan keadaan ini.Menurut pengamatan saya, ketiadaan tempat bersukan seperti padang bola sepak merupakan salah satu faktor utama penyumbang kepada masalah kemerosotan sukan di kampung Bulieng. Lazimnya kampung yang mempunyai kemudahan padang bola sepak yang baik akan memberi kelebihan kepada kampung tersebut untuk berjaya dalam sukan kerana ianya menjadi medan kepada para belia dan beliawanis untuk mengasah bakat mereka dalam sukan seperti bola sepak atau seumpamanya. Rata-ratanya belia dan beliawanis di kampung Bulieng ini menjadikan permainan bola sepak sebagai permainan nombor satu. Namun seperti yang saya jelaskan sebelum ini bahawa ketiadaan padang yang sesuai untuk dijadikan gelanggang permainan telah sedikit sebanyak membantutkan bakat yang mereka miliki. Bagi yang mempunyai kenderaan mereka boleh 'menumpang kasih' dengan bertandang ke kampung-kampung berhampiran untuk 'melampiaskan' gian untuk bermain bola sepak. Sementara mereka yang tidak berkenderaan pula terpaksa menggunakan dewan balairaya yang sangat uzur (tidak sesuai untuk sebarang aktiviti bersukan kerana struktur bangunan yang membahayakan) asalkan mereka dapat mengeluarkan peluh dengan bermain permainan alternatif seperti badminton.Ketiadaan dewan permainan yang sempurna pula telah menjejaskan keghairahan masyarakat kampung untuk meminati sukan rakyat seperti sepak takraw yang mana merupakan salah satu acara sukan yng popular juga di kampung ini. Penduduk kampung hanya mempunyai dewan yang uzur dan tidak selamat untuk tujuan aktiviti riadah. Separuh daripada struktur atap telah tercabut manakala dinding bangunan juga turut mengalami keretakan dan dijangka akan roboh bila-bila masa sahaja.Baru-baru ini iaitu tahun 2008 kampung Bulieng telah mendapat peruntukan daripada kerajaan dan telah mendirikan sebuah dewan untuk menggantikan dewan yang usang. Namun setakat ini masyarakat kampung tidak pernah menggunakan dewan tersebut untuk tujuan gelanggang permainan sama ada badminton mahu pun sepak takraw. Ini kerana spesifikasinya tidak memenuhi kreteria untuk sebuah gelanggang permainan yang disebutkan sebentar tadi. Ketinggiannya hanya dianggarkan 15 kaki sedangkan untuk sesebuah gelanggang permainan badminton atau sepak takraw mestilah sekurang-kurangnya melebihi 25 kaki. Keadaan ini juga menghadirkan persoalan adakah kontraktor yang membina dewan tersebut mengikut piawaian yang digariskan oleh kerajaan atau dipengaruhi oleh individu-individu yang berkepentingan dalam pembinaan dewan itu. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak berwajib agar meredakan kecelaruan politiking di kampung Bulieng.Berbalik kepada isu kemerosotan sukan di kalangan belia dan beliawanis di kampung Bulieng, menurut pandangan saya keadaan ini sebenarnya adalah menifestasi daripada beberapa kepincangan dalam pengurusan organisasi di peringkat kampung. Kurangnya keperihatinan di kalangan ketua-ketua masyarakat terhadap keperluan meningkatkan kerjasama antara sesama masyarakat dilihat telah menjejaskan persefahaman dan akhirnya menyebabkan para belia dan beliawanis beralih kepada budaya melepak yang berleluasa di pekan-pekan. Hasrat untukmembudayakan sukan sebagai salah satu wadah penyatuan serta meningkatkan jati diri masyarakat akan menjadi tugas yang semakin sukar untuk dicapai.Oleh itu sebagai penduduk kampung Bulieng kita harus menyedari bahawa sukan merupakan salah satu elemen yang penting dalam proses pembentukan sebuah masyarakat yang berkerjasama serta dapat meningkatkan persefahaman di kalangan penduduk. Jika ini disedari oleh ketua-ketua masyarakat di kampung ini maka saya percaya kita akan melihat lebih banyak kejayaan yang mampu kita capai bukan sahaja bidang sukan semata-mata tetapi juga bidang-bidang lain seperti akademik anak-anak kita, ekonomi dan juga politik. Sudah sampai masanyanya kita harus lebih berkerjasama dan bersatu hati agar segala perancangan kerajaan akan dapat disampaikan dengan sempurna. Kerjasama yang baik dengan kerajaan akan memberi banyak kebaikan kepada semua dan pada masa yang sama kerajaan juga harus merancang strategi yang berkesan untuk memulihkan keyakinan penduduk dengan cuba memenuhi keperluan sosial seperti membina padang serbaguna bagi kegunaan masyarakat kampung Bulieng. Sekian untuk kali ini.